Friday, June 29, 2007

SABAR, PANDANGAN DARI SISI TASAWUF


Kesabaran (shabr) dihubungkan para penulis sufi sebagai tahap penting dalam kemajuan kehidupan spiritual, atau mungkin sebagai kualiti penting yang harus dicapai seorang yang suci. Al-Hujwiri menukilkan perkataan Hasan al-Bashri, bahawa kesabaran itu terdiri daripada dua bentuk: Pertama, kesabaran terhadap ketidakuntungan dan penderitaan; kedua, adalah kesabaran terhadap segala sesuatu yang oleh Allah s.w.t telah diperintahkan ataupun dilarang untuk dilakukan. Berkaitan hal ini, Abu Thalib al-Makki membahagi kesabaran kepada tiga tahap: Pertama, menghentikan keluhan, dan ini termasuk dalam tahap taubat; kedua, merasa puas dengan apa yang telah ditentukan Allah s.w.t, dan ini adalah tingkatan dalam asketisisme atau zuhud; dan ketiga, menerima dan menyenangi semua yang telah ditentukan Allah s.w.t kepada kita, dan ini termasuk dalam tahap seorang sahabat sejati Allah s.w.t. Berbeza dengan al-Makki, Syeikh Abdus Shamad al-Palimbani, ulamak Palembang abad ke 18, juga membahagi sabar itu kepada tiga tingkataan dengan versi yang berbeza. Ketiga tingkatan sabar tersebut adalah: Pertama, sabar orang awam, yang disebutnnya tashabbur, iaitu menanggung kesusahan dan menahan kesakitan dalam menerima hukum Allah s.w.t; kedua, sabar orang yang menjalani tariqat, iaitu ia menjadi terbiasa dengan sifat sabar...telah mudah atasnya segala yang susah yang datang akan dia itu; ketiga, sabar orang arif, yang telah mengenal Allah yang disebutnya isthibar, iaitu bersedapan dengan kena cubaan dan duka ia dengan ikhtiar Tuhannya.

Secara lebih mendalam, al-Ghazali telah menjelaskan tahap sabar ini sebagai tahap terpenting untuk seseorang sufi, di mana kehidupan spiritualnya hanyalah militan, selalu menerangi nafsu-nafsu dan menggapai kemenangan. Di dalam dunia ini, cubaan-cubaan dan segala ketidakuntungan datang silih berganti, begitu pula dengan kekalahan, penderitaan, perasaan terluka. dan seorang yang suci diharapkan dapat menangkal semua ini sehingga sanggup menguatkan imannya. Sebab bagi yang dicintai Allah s.w.t, ia menerima ujian yang berat dan tiada hentinya. Diharapkan melalui api penderitaan itu, iman para orang suci tersebut akan bersinar lebih terang. Kemudian melalui kesabaran itu bertahan, orang suci itu tidak akan merasakan pengaruh-pengaruhnya, ia akan memenangkan pengharapan yang lebih besar. Inilah yang menjadi ajaran inti dari tahapan sabar itu. Melalui perjalanan hidup dan kehidupan Rabi'ah, dapat dibaca konsep ajarannya tentang sabar ini dan banyak anekdot yang dikisahkan dalam riwayat hidupnya. Di mana Rabi'ah adalah seorang perempuan yang memiliki kesabaran yang luar biasa, yang tidak dimiliki orang lain semasanya. Pada masa-masa awal kita mencatat kesabarannya di bawah penderitaan sebagai seorang pelayang dan budak. Bahkan keadaan yang demikian telah dialami sejak usia masih kecil. Bila diperhatikan awal hingga akhir kehidupannya, perjalanan hidup Rabi'ah penuh dengan tentangan dan penderitaan. Dia hidup dalam keluarga miskin papa. Bahkan ketika orang tuanya meninggal dunia, tidak sedikit pun harta ditinggalkan yang dapat dimanfaatkannya sampai ia cukup dewasa. Tidak ada pula sanak keluarga yang membantunya. Ia tidak mempunyai saudara lelaki yang dapat membelanya dikala menghadapi kesulitan atau bahaya. Saudaranya sebanyak tiga orang, semuanya perempuan. Namun, Rabi'ah tetap sabar menghadapinya bersama saudara-saudaranya...

Memang tidak dapat dimungkiri bahawa cubaan itu amat menyakitkan. Namun, dalam semua hati manusia mengalami tempaan. Bukankah emas murni itu semakin ditempa dan dibakar semakin berkilat dan bercahaya? Demikian pulalah yang dialami Rabi'ah, jatuh bangun daripada malapetaka yang tidak henti-hentinya. Lepas daripada satu penderitaan, terlempar ke penderitaan yang lain. Tapi hati Rabi'ah yang telah sabar dan teguh keimanannya kepada Allah s.w.t, tidak tergoyah sedikit pun. Itulah kehidupan yang dijalani Rabi'ah. Diceritakan, suatu ketika di kota Basrah, tempat tinggal Rabi'ah, sedang dilanda bencana alam. Seperti kekeringan akibat kemarau panjang. Rabi'ah bersama saudara-saudaranya tidak terlepas daripada penderitaan ini. Akibatnya, mereka meninggalkan gubuk reot yang dijadikan tempat tinggalnya selama ini. Dalam pengembaraannya Rabi'ah berpisah dengan saudara-saudaranya, sehingga ia hidup sendiri, sebatang kara. Dalam suatu riwayat diceritakan, akhirnya Rabi'ah ditemukan segerombolan penyamun, yang kemudian dijual sebagai hamba sahaya dengan harga yang sangat murah iaitu dengan harga enam dirham. Rabi'ah ialah seorang sufi perempuan yang sangat tabah, sabar, teguh pendirian dalam menjalani segala cubaan dan rintangan hidup, sehingga Rabi'ah dihitung sebagai sufi perempuan yang berhasil dalam mencari redha Allah s.w.t. Rabi'ah pernah berkata:"Seandainya keutamaan kesabaran itu laksana seorang laki-laki, maka ia akan berjiwa pemurah"

By Iqbal Rumi

No comments: